Thursday, May 15, 2008

FW: Tubuh tribunal siasat Naib Canselor UKM Sharifah Hapsah, gaji RM8 juta

Tubuh tribunal siasat Naib Canselor UKM Sharifah Hapsah, gaji RM8 juta
Date: Tuesday, May 13 @ 15:27:31 MYT
Topic: Berita

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Hrkh) - Gesaan Ahli Parlimen (PAS-Kubang Kerian), Salahuddin Ayub, dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, agar Menteri Pengajian Tinggi segera membuat tinjauan ke Universiti Kebangsaan Malaysia, bagi mengetahui kemungkinan berlaku salah guna kuasa membabitkan naib canselornya, mendapat perhatian warga kampus berkenaan.

Sebahagian besar mereka, terutama kalangan tenaga akademik, bukan sahaja menyambut baik cadangan Ketua Pemuda PAS Pusat itu, malah mahu ia disegerakan, bagi mengelak keadaan di UKM itu bertambah parah.

"Menteri Pengajian Tinggi dan pegawai-pegawainya, kalau boleh esok pergilah ke UKM. Adakanlah pertemuan dengan mereka yang bertanggungjawab terhadap isu pelantikan Prof Dr Tan Hock Lim dengan gaji RM168,000 sebulan dan beliau telah menjadi suatu masalah besar kepada UKM pada hari ini," tegas Salahuddin ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, minggu lalu.

Naib Canselor UKM, Prof Dato' Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, dikatakan menawarkan jawatan Profesor Ulung kepada Dr Tan, 59, secara tidak mengikut peraturan yang ditetapkan, dengan imbuhan lumayan, iaitu lebih RM8 juta sepanjang tempoh perkhidmatannya selama 48 bulan, berkuat kuasa 1 Oktober 2007.

Salahuddin dalam ucapannya menegaskan, beliau membangkitkan hal itu di Parlimen kerana ia melibatkan soal integriti dan perbelanjaan dana awam.

"Kita kena ingat UKM ditubuhkan oleh rakyat. Ingat pejuang-pejuang UKM dahulu membawa tabung-tabung ke kampung-kampung. Ini sejarah UKM. Rakyat memberikan derma untuk menubuhkan UKM. Rakyat yang menubuhkan UKM. Hari ini jangan ada tangan-tangan dan termasuklah apa yang saya hendak sebut pada hari ini adalah tentang Naib Canselornya Prof Dr Sharifah Hapsah," tegasnya lagi.

Beliau seterusnya mencadangkan agar ditubuhkan satu tribunal khas untuk menyemak kembali prestasi Dr Sharifah Hapsah demi menjaga nama baik UKM memandangkan hal itu sudah menjadi rungutan besar kepada warga kampus berkenaan.

"Wang rakyat dihabiskan dengan gaji yang begini besar. Apakah tidak ada lagi tokoh-tokoh akademik yang boleh mengganti tempat beliau?" tambah Salahuddin.

Beliau mengingatkan agar kontoversi perlantikan Dr Tan Hock Lim itu "jangan sampai dikorbankan UKM demi masa depan rakyat".

 

Pengakuan 2 Chef Hotel 5 Bintang yang menggerunkan!

Pengakuan 2 Chef Hotel 5 Bintang yang menggerunkan!
Date: Thursday, May 08 @ 19:23:23 MYT
Topic: Pendapat

Petikan e-grup

Pada hari Ahad yang lepas, sekiranya anda mendengar siaran Radio 24 bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada jam 2 petang, terdapat  satu wawancara yang sangat menarik di antara pengulas Radio 24, Tokki dan  2 orang Chef.

Isu ini begitu menarik sehinggakan saya terasa rugi jika tidak mendengar celoteh mereka walaupun hanya hendak bangun ke tandas. Isu kepenggunaan  kali ini ialah tentang Halal atau Tidak Halal Makanan yang dihidangkan di  hotel 5 bintang.

Seperti yang kita maklum, waktu orang Islam berpusu-pusu untuk makan di hotel 5 bintang ialah ketika bulan Ramadhan. Bukan sahaja individu, malah  syarikat-syarikat juga menjamu pekerja-pekerja dan pelanggan masing-masing di Jamuan Berbuka Puasa di Hotel 5 bintang.

Maklumlah, setelah penat dan lapar berpuasa pada siangnya, tentulah waktu untuk berbuka itu sewajarnya diiringi dengan juadah-juadah yang lazat dan sedap.

Tetapi jangan terkejut kerana hidangan anda di Restoran 5 Bintang itu belum tentu HALAL. Apa hukumnya puasa anda sekiranya berbuka dengan makanan yang haram?

Yang menariknya di dalam program ini, 2 orang Chef telah bersama-sama menceriakan rancangan ini. Apa kata mereka?

Salah seorang Chef memberitahu, dari pengalamannya dahulu, di dalam  restoran hotel 5 bintang yang menghidangkan buffet, terdapat 5 bahagian dapur masakan (Masakan Melayu, Masakan Barat, Masakan Cina.... tak ingat lagi dua).

Setiap satu dapur diketuai seorang Chef yang dipanggil Eksekutif Chef. Di dalam buffet, setiap dapur akan memasak makanan tertentu untuk buffet tersebut. Resepi-resepi untuk makanan yang dimasak daripada setiap dapur adalah hak mutlak Eksekutif Chef.

Ini bermakna  tiada orang lain berhak memberi komen tentang resipi yang telah  ditetapkan oleh Eksekutif Chef.

Eksekutif Chef ini terdiri daripada orang yang pakar dan ahli di dalam masakannya untuk menjaga kualiti makanan yang dihasilkan (5 bintanglah katakan...). Sekiranya Dapur Masakan Melayu tentulah eksekutif Chefnya adalah seorang Melayu. Sekiranya western maka pakarnya tentulah orang dari luar negara, begitu juga masakan cina dan lain lain.

Sesetengah Chef yang mungkin berasal dari luar negara mempunyai cara memasak mereka yang tersendiri. Jika mereka sudah biasa meletakkan arak di dalam makanan di luar negara, mereka pasti akan meletakkan arak ketika memasak di dapur sini.

Salah seorang chef berkata, ketika beliau baru memulakan kerjayanya, beliau melihat bagaimana arak dituang di dalam sup bawang (onion soup) yang dimasak di Hotel 5 bintang ini. Chef itu juga berkata, di atas ruang rak tempat memasak sup-sup, berbaris berjenis-jenis botol arak bersama-sama dengan rencah-rencah lain untuk dibuat sup.

Jika tidak silap  saya, bukan sup sahaja makanan yang mengandungi arak.

Selain daripada arak, ada yang lebih menarik lagi tentang pendedahan ini. Menurut chef tersebut, terdapat dua mesin pengisar daging di dapur tempat beliau bekerja. Satu bertulis "PORK" pada papan tanda berdekatan dan satu lagi bertulis "NON-PORK".

Tapi dia amat kecut perut.. bila semua orang seperti tak nampak (atau buat-buat tak nampak) sahaja papan tanda itu... Kejap yang pork dimasukkan ke mesin yang ini, sekejap yang di sana ... sehinggakan, beliau terpaksa mengangkat tanah dan air untuk mencuci mesin tersebut setiap kali habis bertugas.

Yang memakan masakan itu pula  ialah kita.

Pada kebiasaannya, sesetengah hotel mengasingkan pinggan yang digunakan untuk menghidangkan khinzir di satu tempat yang berasingan untuk dicuci.

Ini adalah kerana, pencuci pinggan dahulunya adalah di kalangan orang  Islam. Tetapi menurut chef itu sekarang, pencuci pinggan adalah di kalangan orang Myanmar dan Bangladesh . Mereka bukannya tahu pinggan mana yang ada khinzir ataupun tidak.

Untuk memudahkan kerja, semuanya  dicampurkan sekali. Habis semuanya....

Chef itu juga ada bercerita tentang kek-kek yang dihidangkan yang mempunyai arak, contohnya tiramisu. Banyak juga dessert dan kek yang tidak halal dihidangkan.

Adakalanya, daging yang di grill, ayam-ayam atau makanan yang dibakar adalah halal. Begitu juga dengan makanan laut. Namun, Chef menasihatkan  agar lebih berhati-hati dengan pelbagai sos atau pencicah yang disediakan bersama kerana ia dikhuatiri tidak halal.


Ada juga pada waktu waktu tertentu chef ini akan keluar dan melihat-lihat para pelanggan. Sekiranya beliau melihat orang Islam mendekati makanan-makanan yang tidak halal, maka dia akan mendekati mereka dan berbisik "Encik, makanan ni tidak halal...".

Tapi tentulah banyak  daripada masa mereka berada di dalam dapur. Jadi nasiblah kepada para  pelanggan Islam yang lain sekiranya tidak sengaja menikmati makanan yang  haram.

JAKIM telah memberi sijil Halal kepada 3 buah hotel sahaja tetapi sampai  tamat program wawancara Radio 24 itu, saya tidak dapat menangkap nama  Hotel 5 Bintang yang mana satu. D'Saji Felda telah diiktiraf Halal oleh JAKIM menurut Tokki (PPIM) cuma ia bukan nama Hotel 5 Bintang yang ingin saya dengar.

Saya berasa sangat terkesan di dalam hati apabila mendengar program ini dan pendedahan pengalaman-pengalaman daripada 2 orang Chef jemputan.

Salah seorangnya kini telah menjadi Ketua Chef untuk Tabung Haji dan  salah seorang lagi bertugas sebagai pengurus di sebuah syarikat makanan.  Ia menjadi pengajaran kepada kita bahawa makanan yang nampak mahal dan  sedap itu tidak semestinya memberi manfaat kepada kita.

Sekiranya anda tahu Hotel 5 Bintang yang diiktiraf Halal oleh JAKIM sila  kongsikan kepada semua pembaca.