Friday, September 19, 2008

Pak Lah Mahu Kekal PM Walaupun Tahu Semakin Ramai Menolaknya!

Abdullah Ahmad Badawi masih bertegas mahu kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia, paling tidak, sehingga pertengahan 2010.

Penegasan ini adalah tetap, walaupun semakin ramai Rakyat Malaysia yang mahukan Abdullah Ahmad Badawi berundur dengan segera.

Lantaran itu, sehingga ada individu dan pihak tertentu yang mahu peralihan kepemimpinan dan perpindahan kuasa berlaku sebelum Disember 2008, ataupun secepatnya ialah sekarang juga.

Ternyata, semakin ramai yang sudah tidak tahan lagi, dan terus mendesak Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan secara terhormat.

Pun begitu, menurut Abdullah Ahmad Badawi, sebarang peralihan kuasa tertakluk kepada prestasi Mohd Najib Abdul Razak.

Jadinya, bila prestasi Mohd Najib Abdul Razak buruk, apakah peralihan kuasa akan berlaku? Kemungkinan politiknya, tidak. Tidak akan berlaku. Jangkaan sambungan dan bahawa Abdullah Ahmad Badawi terus menerus menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia, ialah sehingga PRU 13, adalah berkemungkinan.

Walaupun kerusi Perdana Menteri bukanlah untuk berseronok kata Abdullah Ahmad Badawi, namun hakikatnya sesiapa yang telah dan sesiapa yang mahu menduduki kerusi ini, bukan kepalang seronoknya. Jika tidak, tak kanlah kerusi ini menjadi rebutan beberapa individu dan impian ramai individu.

Rakyat Malaysia sebenarnya, masih boleh redha, akan pemimpin politik yang duduk di persada Perdana Menteri Malaysia, ialah seorang pemimpin politik yang terbaik.

Ertinya kepemimpinannya mendatangkan kebaikan kepada Rakyat dan Negara Malaysia.

Namun, di antara ramai pemimpin politik, Abdullah Ahmad Badawi semakin diketahui ramai, adalah pemimpin paling teruk dan paling buruk, dalam sejarah kepemimpinan negara Malaysia.

Kehairanannya ialah kenapakah Abdullah Ahmad Badawi, sudah pun tahu, maka masih mahu kekal di kedudukan sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Lebih-lebih lagi Abdullah Ahmad Badawi telahpun memberi isyarat jelas untuk bertanding mempertahankan kedudukan sebagai Presiden UMNO dalam pemilihan Disember 2008 ini.

Jika ada sesiapa di kalangan Rakyat Malaysia yang mengharapkan Abdullah Ahmad Badawi mementingkan mereka dan negara ini, lalu mengumumkan perletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia, secara serta-merta, maka harapan ini tiada sedikitpun memberi tanda akan ada kemungkinannya berlaku.

Ertinya, Abdullah Ahmad Badawi, sebagai pemimpin yang dikenali sebagai, pantang dicabar ini, tidak akan sekali-kali berganjak, walaupun jutaan Rakyat Malaysia dari pelbagai pihak mendesak supaya dia berundur secara terhormat.

Pilihan yang telah ada, jika tidak sukakan dia dan kerajaannya, maka buktikanlah dalam PRU 12. Pilihan ini telahpun berkeputusan. Namun, belum cukup untuk Abdullah Ahmad Badawi berundur.

Pilihan yang masih ada, ialah:

01. Pemilihan UMNO Disember 2008 ini, seorang Presiden UMNO yang baru, dipilih oleh perwakilan yang mewakili ahli UMNO di cawangan dan bahagian.

Namun, kemungkinan yang ada setakat ini menunjukkan bahawa kemenangan masih berpihak kepada Abdullah Ahmad Badawi. Calon menentang dalam pertandingan ini belum menampakkan sebarang kekuatan dan kemampuan untuk menang tipis.

02. PRU 13, sekiranya peralihan kepemimpinan pertengahan 2010 tidak berlaku.

Kemungkinan ini cerah memihak kepada pembentukan kerajaan baru dan kemunculan Perdana Menteri yang baru. Pun begitu, tarikhnya masih terlalu lama, dan kemungkinannya ada bahawa Abdullah Ahmad Badawi terus kekal sebagai Perdana Menteri.

Mujurlah Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat terus menerus mewakili Rakyat dan Negara Malaysia, dan tekun serta gigih mengemukakan satu demi satu jalan yang memungkinkan Abdullah Ahmad Badawi tidak lagi dapat kekal di kerusi Perdana Menteri Malaysia.

Sementara usaha dilakukan dan Abdullah Ahmad Badawi mengelak dari bertemu, dan seterusnya berkata tidak kepada persidangan khas Parlimen, sampailah kemungkinan pihak tertentu mengadap D.Y.M.M. Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.

Abdullah Ahmad Badawi kini masih terus berkata, "Saya Perdana Menteri Malaysia".

Kehadrat Ilahi kita terus memanjatkan doa, semoga Rakyat dan Negara Malaysia boleh kembali harmoni dan makmor, apabila Abdullah Ahmad Badawi tidak lagi duduk di kerusi Perdana Menteri Malaysia.

 

Monday, September 1, 2008

RAHSIA KHUSYUK DALAM SEMBAHYANG

Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk solatnya. Namun dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasakan kurang khusyuk.
Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Isam dan bertanya : "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"
Hatim berkata : "Apabila masuk waktu solat aku berwudhu' zahir dan batin."
Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?"
Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air. Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-
1. bertaubat
2. menyesali dosa yang dilakukan
3. tidak tergila-gilakan dunia
4. tidak mencari / mengharap pujian orang (riya')
5. tinggalkan sifat berbangga
6. tinggalkan sifat khianat dan menipu
7. meninggalkan sifat dengki
Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula bahwa aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Sirratul Mustaqim' dan aku menganggap bahwa solatku kali ini adalah solat terakhirku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.
Setiap bacaan dan doa dalam solat kufaham maknanya, kemudian aku ruku' dan sujud dengan tawadhu', aku bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."
Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

AL-QUR'AN SEBAGAI PEMBELA DI HARI AKHIRAT

Abu Umamah r.a. berkata : "Rasulullah S.A.W telah menganjurkan supaya kami semua mempelajari Al-Qur'an, setelah itu Rasulullah S.A.W memberitahu tentang kelebihan Al-Qur'an."
Telah bersabda Rasulullah S.A.W : Belajarlah kamu akan Al-Qur'an, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya."
Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, " Kenalkah kamu kepadaku?" Maka orang yang pernah membaca akan menjawab : "Siapakah kamu?"
Maka berkata Al-Qur'an : "Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di waktu siang hari."
Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Qur'an itu : "Adakah kamu Al-Qur'an?" Lalu Al-Qur'an mengakui dan menuntun orang yang pernah membaca mengadap Allah S.W.T. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangan kirinya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya.
Pada kedua ayanh dan ibunya pula yang muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya : "Dari manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?"
Lalu dijawab : "Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al-Qur'an."

Umno hadapi krisis moral dan budaya yang serius - Ku Li

KUALA LUMPUR, 1 Sept ( Hrkh) - Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah (Ku Li) berkata, Umno sekarang ini menghadapi krisis budaya dan moral yang sangat serius akibat penularan rasuah dalam parti itu.
Berucap dalam satu majlis anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan di Kota Bharu, Sabtu lepas, Ku Li menegaskan, selain berleluasa dalam parti yang memerintah rasuah juga sudah menjadi masalah besar dalam perkhidmatan awam.
"Masalah ini sudah menjadi 'open secret', yakni bukan rahsia lagi. Baru-baru ini Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendedahkan bahawa rasuah beli undi ini sudah menjalar ke seluruh akar umbi Umno.
"Saya anggap ini sebagai krisis budaya dan moral yang sangat serius, dan boleh memusnahkan Umno dan menjadikannya parti politik usang," tegasnya.
Teks ucapan Ku Li selaku Penaung MTRK dihantar kepada Harakahdaily menerusi emel.
Ku Li yang akan mencabar Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam Perhimpunan Agung parti itu Disember depan turut melontarkan kebimbangan beliau, bahawa rasuah politik dalam Umno, hanya akan menyebabkan parti itu diterajui orang yang tidak layak.
"Dapatkah kita menjamin bahawa melalui rasuah politik dalam UMNO itu, hanya orang yang baik, cekap, bersih, jujur atau yang mempunyai kelayakan dan kemampuan yang kuat untuk memperjuangkan kepentingan parti dan anggota parti atau untuk menjadi pemimpin kerajaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang?", soal beliau.
Ku Li turut memetik kata popular di kalangan Umno yang mengatakan, 'dalam Umno kalau anda tidak punya wang (tidak kira dari mana datangnya wang itu) jangan cubalah bertanding melawan calon yang kaya'.
Beliau turut memberi perumpamaan bahawa rasuah rasuah adalah seperti anai-anai yang boleh memakan asas atau tiang rumah.
Katanya, tiang (Umno) dan rumah (negara) akan roboh dan porak peranda jika 'anai-anai rasuah' tidak dibunuh dengan segera.
Dalam ucapannya juga Ku Li turut menegur kepimpinan Umno supaya menyelesaikan segera masalah ekonomi, perhubungan antara kaum dan pelbagai isu yang boleh menjejas kestabilan dan kedaulatan negara.
"Masalah inilah yang mesti kita tangani secara serius kalau kerajaan atau parti yang memerintah sekarang tidak mahu kehilangan keyakinan rakyat yang lebih teruk lagi daripada yang dialaminya selepas PRU ke-12," tegasnya. - mr_

Surcaj 30 peratus, jerat pengguna miskin untuk beraya

Surcaj 30 peratus, jerat pengguna miskin untuk beraya
Adnan Ibrahim Mon Sep 01, 08 6:02:15 am MYT
Barangkali kerajaan boleh juga menjadikan Mydin sebuah pasaraya atau gedung perniagaan yang terkenal dengan barangan murah sebagai konsultan mereka untuk menjaga kepentingan orang ramai.
Konsep mengurangkan harga dengan meningkatkan kuantiti jualan yang banyak diamalkan oleh pasaraya besar seperti juga saingan penerbangan seperti Air Asia menarik lebih ramai pengguna dengan jualan tiket murah.
Walaupun margin keuntungan kecil yang diperolehi daripada harga barang tetapi keuntungan tetap tinggi berdasarkan peningkatan kuantiti jualan atau pertambahan jumlah pengguna.
Berdasarkan kepada kaedah tersebut kenapa perlu kerajaan membenarkan pengusaha bas menaikkan surcaj 30 peratus keatas harga tiket bas ekspres dan bas henti-henti bagi musim perayaan Hari Raya Aidilfitri depan?
Tidakkah kerajaan sedar peningkatan berkali ganda pengguna pengangkutan bas setiap kali menjelang raya dan lepas raya? Peningkatan mendadak tersebut sudah tentu menguntungkan pengusaha bas malah ia dikira bonus kerana ia turut sama meningkatkan pendapatan syarikat bas.
Bas merupakan pengangkutan awam paling murah. Orang miskin menjadi pengguna utama kerana tidak berkemampuan membeli kenderaan peribadi.
Golongan wanita juga merupakan pengguna utama pengangkutan awam tersebut kerana tidak ada keberanian membawa kereta atau motorsikal.
Begitu juga dengan remaja yang belum berkemampuan memiliki kenderaan peribadi menjadikan bas keutamaan pengangkutan mereka.
ersoalannya kenapa kerajaan merestui syarikat bas memasang jerat kepada pengguna pengangkutan awam? Apakah kerajaan dan penguasaha bas sepakat mengambil kesempatan diatas keadaan terdesak pengguna bas?
Kerajaan melakukan kesilapan besar menaikkan harga minyak sehingga 40.6 peratus petrol dan diesel sebanyak 63.3 peratus. Keadaan ini menyebabkan inflasi meningkat 8 peratus pada Julai lalu dan kebobrokan ekonomi yang sukar untuk dipulih.
Kesan kenaikan harga minyak menyebabkan kenaikan alat ganti dan kos penyelenggaraan kenderaan ikut turut naik.
Walaupun kerajaan menurunkan 15 sen seliter petrol dan 5 sen seliter diesel tetapi kemusnahan ekonomi yang telah parah tadi menyukarkan penurunan harga barangan berlaku.
Sebaliknya kesilapan kerajaan itu mahu diletakkan diatas bahu pengguna bas. Malah mereka seolah bersekongkol dengan pengusaha bas menjerut leher pengguna dalam masa orang ramai terdesak untuk pulang ke kampung menyambut hari raya bersama ibu bapa dan keluarga.
Tidak adakah cara lain bagi kerajaan mengatasi masalah tersebut? Kenapa harus pengguna menjadi mangsa yang kedua selepas menjadi mangsa pertama iaitu kesilapan kerajaan menaikkan harga minyak?
Kenapa kepentingan pengguna tidak diambil kira? Bagi tiket perseorangan ia tidak menjadi masalah tetapi fikirkan tentang pengguna miskin yang berkeluarga?
Sebagaimana perumpamaan yang telah diberikan oleh penulis blog, Mohd Ikhmal Mohd Iskandar:
1. Tambang Ipoh ke Shah Alam = RM15.00
2. Surcaj 30% = 30% x RM15 = RM4.50
3. Jumlah =RM 19.50 (seorang)
Menurut beliau, katakan seorang itu mempunyai tiga orang dewasa dan dua orang kanak-kanak, berapakah surcaj yang perlu mereka tambah?
Sudah tentu tambang bas mereka melebihi harga minyak dan tol bagi sebuah kenderaan untuk ke destinasi yang sama.
Bagi tambang kanak-kanak pula, harga mungkin diberi separuh bagi syarikat besar seperti Tranasional tetapi syarikat bas lain tetap mengenakan harga dewasa bagi kanak-kanak.
Alasan yang diberikan ialah bas tambahan tetapi sebenarnya mereka mahu mengaut keuntungan dan kesempatan daripada pengguna dan keluarga yang terdesak mahu pulang ke kampung.
Sebelum itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata kadar surcaj, yang berkuatkuasa selama sebulan mulai 15 Sept ini, langkah sementara sebelum kementeriannya membuat keputusan kenaikan kadar tambang.
"Pelaksanaan surcaj ini adalah bagi membantu pengusaha bas ekspres mengurangkan kos operasi selepas mengambil kira pelbagai pandangan dan maklum balas serta keluhan daripada mereka," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen.
Tindakan kerajaan itu cukup membebankan rakyat yang mahu pulang ke kampung bertemu sanak saudara pada hari raya akan datang.
Rakyat sering mendengar pakar motivasi keluarga meminta umat Islam pulang sebulan sekali atau kalau tidak berkemampuan mereka boleh pulang setahun sekali terutama hari raya untuk menjenguk ibu bapa dan saudara mara di kampung.
Dengan cara ini ia meningkatkan saliratulrahim sesama insan dan ikatan persaudaraan yang boleh memberi keharmonian kepada masyarakat, kampung, negeri dan negara.
"Ibu bapa bukan mengharapkan wang tetapi kerinduan untuk melihat anak-anak mereka," kata-kata yang sering diluahkan oleh para motivasi di media elektronik dan cetak.
Jika dikenang kata-kata pakar motivasi rupanya minyak naik boleh juga putus saudara. Hilang keharmonian sebaliknya bertambah tekanan.
Maka menjadi tanggungjawab Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membetulkan keadaan tersebut.
Kementerian tersebut perlu ingatkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi supaya jangan terlalu fikirkan keuntungan hingga lupa tanggungjawab sosial yang akhirnya membawa kemusnahan keluarga dan masyarakat.
Rakyat mahu pulang ke kampung untuk realisasikan apa yang diingini oleh kementerian pembangunan wanita, keluarga, tetapi kenapakah kementerian usahawan mengambil kesempatan?
Dalam blog yang lain penulisnya ada membuat komen berikut: "Jika pengusaha bas mengeluh, kami sebagai pengguna juga mengeluh dengan kenaikkan yang agak tinggi ini iaitu 30 peratus. Bukankah kerajaan telah menurunkan harga diesel? Bukankah harga diesel bagi pengusaha bas adalah jauh lebih murah?
Kami juga merasai keperitan hidup dengan kenaikkan pelbagai kos namun mengapa keluhan kami tidak diambil kira berbanding dengan keluhan pengusaha bas?
Ingin saya cadangkan, sekiranya kerajaan benar-benar prihatin terhadap kedua belah pihak iaitu pengguna dan pengusaha, adalah lebih baik jika kenaikkan tersebut hanya berkadar 15 peratus sahaja.
Seperti yang saya katakan, kita juga faham nasib si pengusaha bas tetapi siapakah yang faham akan nasib kami yang cukup terbeban ini."