Thursday, May 15, 2008

FW: Tubuh tribunal siasat Naib Canselor UKM Sharifah Hapsah, gaji RM8 juta

Tubuh tribunal siasat Naib Canselor UKM Sharifah Hapsah, gaji RM8 juta
Date: Tuesday, May 13 @ 15:27:31 MYT
Topic: Berita

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Hrkh) - Gesaan Ahli Parlimen (PAS-Kubang Kerian), Salahuddin Ayub, dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, agar Menteri Pengajian Tinggi segera membuat tinjauan ke Universiti Kebangsaan Malaysia, bagi mengetahui kemungkinan berlaku salah guna kuasa membabitkan naib canselornya, mendapat perhatian warga kampus berkenaan.

Sebahagian besar mereka, terutama kalangan tenaga akademik, bukan sahaja menyambut baik cadangan Ketua Pemuda PAS Pusat itu, malah mahu ia disegerakan, bagi mengelak keadaan di UKM itu bertambah parah.

"Menteri Pengajian Tinggi dan pegawai-pegawainya, kalau boleh esok pergilah ke UKM. Adakanlah pertemuan dengan mereka yang bertanggungjawab terhadap isu pelantikan Prof Dr Tan Hock Lim dengan gaji RM168,000 sebulan dan beliau telah menjadi suatu masalah besar kepada UKM pada hari ini," tegas Salahuddin ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, minggu lalu.

Naib Canselor UKM, Prof Dato' Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, dikatakan menawarkan jawatan Profesor Ulung kepada Dr Tan, 59, secara tidak mengikut peraturan yang ditetapkan, dengan imbuhan lumayan, iaitu lebih RM8 juta sepanjang tempoh perkhidmatannya selama 48 bulan, berkuat kuasa 1 Oktober 2007.

Salahuddin dalam ucapannya menegaskan, beliau membangkitkan hal itu di Parlimen kerana ia melibatkan soal integriti dan perbelanjaan dana awam.

"Kita kena ingat UKM ditubuhkan oleh rakyat. Ingat pejuang-pejuang UKM dahulu membawa tabung-tabung ke kampung-kampung. Ini sejarah UKM. Rakyat memberikan derma untuk menubuhkan UKM. Rakyat yang menubuhkan UKM. Hari ini jangan ada tangan-tangan dan termasuklah apa yang saya hendak sebut pada hari ini adalah tentang Naib Canselornya Prof Dr Sharifah Hapsah," tegasnya lagi.

Beliau seterusnya mencadangkan agar ditubuhkan satu tribunal khas untuk menyemak kembali prestasi Dr Sharifah Hapsah demi menjaga nama baik UKM memandangkan hal itu sudah menjadi rungutan besar kepada warga kampus berkenaan.

"Wang rakyat dihabiskan dengan gaji yang begini besar. Apakah tidak ada lagi tokoh-tokoh akademik yang boleh mengganti tempat beliau?" tambah Salahuddin.

Beliau mengingatkan agar kontoversi perlantikan Dr Tan Hock Lim itu "jangan sampai dikorbankan UKM demi masa depan rakyat".