Saturday, April 12, 2008

Kes Tun Salleh: Antara Kemaafan dan Maruah....

"Kerajaan tidak akan meminta maaf kepada mantan ketua hakim negara Tun Salleh Abas yang dipecat pada 1988 - kes utama sebagai lambang penghakisan kewibawaan dan kebebasan badan kehakiman Malaysia"-begitulah lebihkurang kenyataan yang dibuat oleh PM Abdullah semalam.

Bagi hamba rakyat marhaen yang kurang arif tentang undang-undang kita macam tidak ambil kisah tentang kes pemecatan Tun Salleh Abas 1988...dan kalau boleh biarlah orang undang-undang sahaja yang membincangkanya. Tapi bagaimana pula dengan MARUAH seorang manusia yang telah "tercalar" atau "dicalarkan"?? Kes seperti ini akan dijadikan bahan rujukan sampai bila2 selagi tidak dihapuskan secara rasmi. Ia melibatkan maruah seorang insan. Jika kes itu benar, kenapa ianya masih ditimbulkan? Bahkan ianya bermula dari pihak kerajaan sendiri!

Rakyat marhaen tidak kisah, apa yang penting ialah kebenaran dan keadilan. Tidak kira siapa. Masing-masing kita punya hak. Kita boleh menuntut dan dituntut. Ini tanggungjawab seorang insan.

Adalah amat malang jika kes ini benar-benar satu kesilapan yang sengaja dibuat ke atas Tun Salleh dan yang lainnya. Dalam keadaan sistem kehakiman kita disaran supaya dikembalikan ke tempat asal sebagaimana saranan Pemangku Sultan Perak Tuanku Raja Nazrin Shah beberapa hari lalu.

Dari ucapan-ucapan dan lenggok PM Abdullah kita nampak seperti beliau tidak punya kekuatan melaksanakan supaya segala persepsi buruk terhadap sistem kehakiman terhapus. Ingat, ini melibatkan hak Tun Salleh. Bukan sahaja dirinya, maruahnya bahkan ia melibatkan kehidupan bagi anak cucu dan keluarga beliau. Hak beliau termasuk pencen dan keistimewaan sebagai salah seorang penjawat awam yang dilindungi oleh perlembagaan malaysia. Ini sesuatu yang bukan main-main jika beliau di pihak yang benar. Bertanggungjawablah bagi mereka yang perlu menjawab!