Saturday, March 22, 2008

Barisan Bertindak Perpaduan Melayu memang hebat!

Abdul Halim Mohd Rashid Sat Mar 22, 08 5:14:24 am MYT
Ahli-ahli Umno tidak berani, itulah gambaran yang diberikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila berkata beliau tidak fikir 60 bahagian Umno berani menyokong Tengku Razaleigh Hamzah yang menawarkan dirinya untuk menjadi Presiden Umno menentang Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. -->-->
Sebelum itu, bekas Presiden Umno itu menyatakan Abdullah "telah memusnahkan Umno, merosakkan Barisan Nasional (BN)".
Benarkah kenyataan Dr Mahathir?
Tidak mungkin mereka penakut. Bukankah ahli-ahli Umno berani menjerkah berapi-api dalam demonstrasi yang mendapat layanan kelas pertama dari polis?
Bukankah mereka begitu jantan dan tampil membela Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan raja-raja Melayu? Bukankah begitu banyak jaguh-jaguh Umno yang menubuhkan badan-badan handalan seperti Badan Bertindak Melayu (Bertam), Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) dan Suara Rakyat Perak. Bukankah semuanya begitu hero sehingga berdemonstrasi di antara senyuman dan layanan mesra polis?
Tidak mungkin tidak ada yang membaca liputan-liputan berita utama dalam akhbar-akhbar harian dan media elektronik yang memaparkan betapa hebatnya mereka menjerit dan melolong memperjuangkan DEB ketika dasar yang menjadi tongkat Melayu itu dibunuh di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).
Tidak mungkin semua terlupa betapa hebatnya mereka mempertahankan tongkat Melayu (meminjam istilah Perdana Menteri yang dituntut berundur).
Bukankah pernah dilaporkan secara besar-besaran oleh media-media arus perdana tentang perhimpunan serta demonstrasi Umno Pulau Pinang, Bertam, Gabem dan Suara Rakyat Perak ketika Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah menyuarakan kebimbangan terhadap aset negara, khasnya yang dipegang oleh bumiputera, yang dijangka akan jatuh ke tangan orang asing dan tidak mungkin boleh ditebus kembali akibat tindakan kerajaan Abdullah menolak DEB di WPI.
Tidak mungkin orang-orang Melayu mudah lupa betapa hebatnya dan gegak gempitanya Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) menggerakkan segala usaha untuk memelihara kesucian agama Islam ketika akhbar Singapura, Today, melaporkan berita bertajuk "Allow Muslims to convert if they choose to: PM Abdullah" pada 10 Julai tahun lalu.
Antara yang dilaporkan oleh akhbar itu ialah:
Asked about the growing number of religious disputes dominating news headlines, the Prime Minister proposed that Muslims who want to convert to other faiths should be allowed to do so.
"This is not something that cannot be done. For those who don't want to be Muslims anymore, what can you do? If they want to leave the religion, what are you going to do? You might as well let them go."
Tidak mungkin tidak ada siapa pun yang ingat betapa marahnya BBPM apabila Abdullah menyatakan "let them go" kepada tindakan murtad. Bukankah pada waktu itu BBPM berjuang habis-habisan untuk mempertahankan prinsip amar ma'ruf nahi munkar ditendang terajang sesuka hati?
Jangan mudah lupa betapa pahlawannya badan-badan Melayu Islam yang mendukung BBPM seperti Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Mereka adalah pahlawan-paklawan yang menentang kenyataan Abdullah yang menghalalkan murtad untuk untuk memelihara kesucian agama Islam.
Tentu orang-orang Melayu tidak dapat melupakan tokoh terbilang Melayu yang begitu masyhur ke seluruh dunia, Osman Abu Bakar. Siapa yang tidak kenal ketua umum BBPM yang begitu masyhur itu? Kanak-kanak belum bersekolah pun kenal. Beliau memang masyhur.
Selepas Umno dan Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan besar di Semenanjung dalam pilihan raya 8 Mac lalu, tidak lama lagi BBPM akan mengadakan satu perhimpunan orang Melayu dan Islam. Bayangkan betapa hebatnya perhimpunan itu kerana ia bersandarkan roh sambutan Maulidur Rasul!
Tentu ramai yang masih ingat betapa BBPM dan badan-badan pendukungnya mengadakan himpunan perpaduan Melayu besar-besaran selepas pembangkang-pembangkang Melayu Islam kalah teruk dalam pilihan raya 2004 yang lalu. Begitulah konsistennya BBPM, Gapena, DPMM, GPMS, Pekida dan PPIM menangani dan merawat masalah perpecahan Melayu.
BBPM memang hebat! Sebab itulah ia mendapat sokongan para pemimpin Umno termasuk Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Reezal Merican Naina Merican yang sering disebut sebagai orang kuat menantu Abdullah, Khaitry Jamaluddin. (Gambar-gambar dan pautan-pautan di sini)