Friday, March 21, 2008

Rakyat tertipu jika fikir Khairy lemah

Rakyat tertipu jika fikir Khairy lemah
Abdul Halim Mohd Rashid Thu Mar 20, 08 6:18:16 pm MYT
KUALA LUMPUR, 20 Mac (Hrkh) - Majoriti rakyat yang dikatakan amat membenci menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin "tertipu" jika merasa yakin bahawa Ahli Parlimen Rembau yang kian dipertikai kemenangannya itu telah lemah pengaruhnya.
Menurut sumber yang rapat dengan kepimpinan Umno, selepas agak terkejut dengan kekalahan besar Barisan Nasional (BN) di Semenanjung dalam pilihan raya 8 Mac lalu, "hampir 80 peratus kapal besar Khairy telah dibaiki".
"Khairy bukan sahaja mengukuhkan kembali kekuatannya di dalam Umno, malah beliau juga memperluaskan pengaruhnya dalam beberapa badan bukan kerajaan (NGO).
"Pengaruhnya dalam Pekida (Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah SeMalaysia), tidak kiralah yang rasmi atau tidak rasmi, sudah kukuh kembali," kata sumber tersebut yang mensyaratkan identitinya tidak didedahkan.
Ketika ditanya sejauh manakah benarnya dakwaan beliau, sambil tertawa sumber itu berkata: "You tunggu 'next change'".
Beliau bagaimanapun enggan mengulas apa yang beliau maksudkan dengan "next change".
"Mana boleh orang PAS tahu! Tapi you tahu atau tidak siapa yang kumpul begitu ramai penyokong di Seri Perdana (9 Mac lalu) selepas umum keputusan (pilihan raya).
"You jangan cuba underrate (perkecilkan)," katanya sambil ketawa.
Ketika ditanya benarkah pihak luar yang menjadikan Khairy "ayam tambatan" mereka sedang berusaha keras untuk memulihkan kedudukan Khairy, beliau terus berkata: "You kalau nak info (maklumat), jangan tanya soalan mengarutlah".
Menjawab pertanyaan mengapa hampir tidak ada "budak Khairy" di dalam kabinet, beliau berkata: "Takkan selama-lamanya Pak Lah nak dengar nasihat (bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun) Musa (Hitam)".
Hanya dua orang sahaja yang dilihat sebagai "budak Khairy" yang berada di dalam kabinet, iaitu Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Sumber yang rapat dengan kepimpinan Umno itu bagaimanapun tidak dapat mengesahkan kehebohan yang mendakwa Musa telah merajuk dan enggan memberikan pandangan kepada Perdana Menteri yang dituntut berundur, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Musa didakwa merajuk kerana anak Abdullah, Datuk Kamaluddin Abdullah tiba-tiba masuk dan menuntut kehendaknya ketika Musa sedang memberikan pandangannya kepada Perdana Menteri yang dituntut berundur.
Musa dikatakan terus bangkit dan keluar selepas tindakan Kamaluddin itu.
Sumber itu tetap menekankan bahawa kabinet yang baru diumumkan Abdullah 15 Mac lalu ada kaitan dengan nasihat Musa.
Tetapi, katanya, itu tidak bermakna Khairy tidak ada pengaruh langsung dalam kabinet itu.
"You tahu apa sebab (Datuk Seri) Rafidah (Aziz) kena buang (tidak dilantik semula di dalam kabinet)?" tanya beliau.
Ketika ditanya apakah punca keengganan Abdullah melantik semula Rafidah, sumber itu mengaitkan tindakan tersebut dengan surat setebal 16 halaman yang dihantar oleh Rafidah kepada Abdullah.
Surat itu dikatakan menghentam menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin yang menurut sumber itu dianggap punca kekalahan teruk Umno di Semenanjung.
Sebelum ini, beberapa blog mendakwa, Rafidah adalah antara penghalang utama rancangan Abdullah untuk melantik menantunya sebagai anggota kabinet.
Menurut dakwaan itu, apabila Abdullah mengumumkan keinginannya untuk melantik Khairy di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang lalu, beliau mendapat bantahan yang hebat.
Rafidah dan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan penentang yang paling lantang membantah perlantikkan Khairy ke dalam kabinet.
Rafidah yang paling marah sehingga menghentak meja, tegas dengan pendiriannya bahawa Khairy adalah "perosak Umno".