Friday, March 21, 2008

Waktu kematian Altantuya tidak dapat ditentukan

SHAH ALAM 19 Mac – Waktu kematian wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu tidak dapat ditentukan dengan tepat, namun kajian antropologi menunjukkan ia baru dalam tempoh setahun.
Pakar Perunding Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Nurliza Abdullah memberitahu demikian di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ketika diminta menerangkan hasil bedah siasat ke atas serpihan tulang dan tisu Altantuya.
Nurliza, 43, selaku saksi pendakwa ke-72 memberitahu: “Secara amnya dari pengajian antropologi, apabila terdapat kesan tisu tulang sum-sum atau adanya tisu-tisu lembut maka tempoh waktu kematian dianggap sebagai baru. Perkataan baru atau fresh dalam antropologi difahami sebagai tempoh setahun.”
Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mengemukakan soalan dalam pemeriksaan utama, meminta kepastian daripada Dr. Nurliza mengenai anggaran waktu kematian Altantuya dengan memberikan julat tempoh masa yang kecil.
Dr. Nurliza: “Dari segi anggaran, waktu kematian juga tidak boleh diberi julat tempoh masa yang kecil berdasarkan pemahaman bidang pengajian antropologi. Namun oleh kerana tisu tulang sum-sum dan tisu lembut masih ada, maka tempoh waktu kematian adalah dalam masa setahun. Tidak boleh dipendekkan lagi julat ini kepada beberapa bulan, minggu atau hari.”
Pakar itu sedang memberikan keterangan pada perbicaraan terhadap Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Sirul Azhar Umar, 36, atas tuduhan membunuh Altantuya, 28, seorang jurubahasa.
Mereka didakwa membunuh Altantuya di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.
Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, pula didakwa atas tuduhan bersubahat dengan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman itu, untuk membunuh Altantuya.
Abdul Razak didakwa melakukan perbuatan itu dengan mereka di pejabatnya di Kuala Lumpur pada 18 Oktober 2006.
Perbicaraan masuk hari ke-97.
Hasil pemeriksaan turut mencakupi aspek penyakit, Dr. Nurliza memberitahu, tiada kesan penyakit tulang yang ketara ditemui ke atas rangka yang selepas itu dimaklumkan oleh polis melalui surat rujukan bernombor IP 4389/2006 bertarikh 19 Disember 2006 bahawa tulang-tulang manusia itu adalah milik Altantuya.
“Kesan patah dan retak pada kebanyakan bahagian badan seperti tulang tengkorak, tulang rusuk, tulang anggota bahagian atas tulang belakang dan tulang pinggul menunjukkan secara kesimpulannya semua bahagian tulang yang mewakili rangka manusia ini mengalami satu tekanan atau impak yang sangat kuat bersesuaian dengan kecederaan akibat letupan,” katanya.
Namun ketika diajukan pertanyaan sama ada kecederaan tersebut adalah konsisten dengan pukulan, Dr. Nurliza menyatakan, beliau tidak dapat menjawab soalan tersebut kerana ia terlalu umum.
“Ini kerana saya tidak mengetahui cara pukulan dibuat sama ada Altantuya dipukul di seluruh badannya atau objek keras yang digunakan untuk memukul,” ujar Dr. Nurliza dengan tenang.
Tun Abdul Majid juga tertarik untuk mengetahui keganjilan yang dikenali sebagai ‘lumbarisation’ pada tulang pinggul Altantuya dari segi anatomi yang diperiksa pakar itu adakah ia satu bentuk kecacatan atau sebaliknya.
“Bahagian tulang sacrum bersambungan dengan bahagian belakang tulang lumbar dari segi anatomi terdiri daripada lima tulang yang sedia bercantum membentuk satu tubuh badan. Keganjilan lumbarisation ini bukanlah kecacatan atau penyakit.” ujar Dr. Nurliza.
Beliau juga membuat kesimpulan bahawa rangka berkecai dikutip di kawasan belukar atas bukit antara Puncak Alam dan Puncak Perdana apabila dicantumkan misalnya tulang lumbar 5, serpihannya boleh dicantumkan kerana ada keserasian. Perbicaraan bersambung Isnin depan.