Saturday, March 22, 2008

KHIR TOYO : Penyapu Yang Kembali Kepadanya (Analisis Isu)

Jika dulu beliau mencipta sejarah dengan Menjadi Menteri Besar(MB) termuda di Malaysia pada umur 35 tahun maka pada hari ini pula beliau menjadi MB pertama bagi Umno di sebuah negeri yang tewas kepada BA untuk mengundur diri serta melepaskan jawatan sebagai Ketua Perhubungan Umno Negeri dan BN.
Kejutan demi kejutan berlaku setiap hari. Inilah hukum alam, setiap yang di atas akan merasai hal yang di bawah ibarat putaran sebuah roda kehidupan.
Malu? Kecewa? Takut? semuanya bersarang difikiran Dato Seri Khir Toyo sekarang ini. Siapakah yang dapat meneka beliau sehingga mengambil leputusan drastik pada malam ini. Seorang tokoh muda Umno tersungkur jatuh tersembam mencecah bumi akibat pembalasan karma dek kealpaan dan kesombongan sifat diri yang dibuat-buat semasa beliau menerajui kepimpinan MB Selangor selama beberapa tahun.
Kenapa Khir Toyo melepaskan jawatan dalam parti? Adakah akibat tekanan pihak atasan? Atau memang rasa betul-betul bertanggungjawab terhadap prestasi merudum Umno/BN Selangor? Atau untuk menjauhkan diri dari segala masalah yang akan timbul dalam era kepimpinan BA? Inilah kejutan yang beliau mampu lakukan. Dulu beliau sebagai MB, siapa yang tidak mengenali beliau? Sekarang umpama pahlawan yang berpaling jauh menyelamatkan diri sendiri, ke manakah beliau akan pergi? Rakyat akan mengikuti walau ke mana hala tuju bekas MB Selangor ini.
Selepas menjadi MB Selangor atas pilihan Tun Dr.Mahathir lewat tahun 2000 dengan melangkaui beberapa senior Umno di Selangor, beliau yang juga merupakan Exco Pemuda Umno yang pertama dilantik menerajui sesebuah negeri menjadi MB, maka beliau berjanji akan menjadikan Selangor negeri maju pada 2005. Selepas memimpin pilihanraya pada 2004 dengan kejayaan cemerlang, maka PM ketika itu Pak Lah terus meminta belia menjawat jawatan MB untuk kali yang kedua, maka di situlah punca segala masalah dan menjadi detik-detik kejatuhan beliau sedikit demi sedikit.
Pertamanya, slogan PEMBANGKANG SIFAR yang diucapkan secara takbur dan angkuh untuk membuang mana-mana jasad pembangkang untuk bersuara di dalam DUN. Slogan yang bongkak ini menjadi mainan percakapan beliau setiap masa dengan berharap rakyat Selangor akan memejamkan mata, memekakkan telinga, menjadi bodoh, dan mengikut sahaja slogan angkuh beliau ini.
Beliau ingin menjadikan negeri Selangor negeri yang maju tapi pada masa yang sama berharap rakyat Selangor menjadi dungu di dalam sebuah negeri yang maju. Hasilnya, undi rakyatlah, mereka yang mendengar slogan inilah yang memberikan pengajaran kepada beliau supaya insaf dan tidak menongkah kesombongan didalam kehidupan beliau akan datang.
Keduanya, slogan PENYAPU yang telah mengguris hati banyak pegawai kerajaan bukan sahaja di negeri Selangor malah menular ke setiap benak hati pegawai kerajaan di seluruh negara. Anugerah penyapu yang beliau cipta sebagai penanda aras kecekapan bekerja Majlis Daerah Hulu Langat lari dari tujuan sebenar.
Walaupun disokong oleh pelbagai pihak dalam kerajaan, ironinya slogan ini ditentang oleh rakyat. Maruah dan harga diri pegawai kerajaan diperlekehkan oleh MB? Jika kita tanya Yang DiPertua tersebut, adakah kita boleh menghadiahkan PENYAPU kepada Khir Toyo saat dan ketika ini, apakah jawapan beliau? Akhirnya pembalasan menjatuhkan maruah orang diterima beliau, semoga keinsafan menjelma dalam hidup beliau.
Ketiganya, dengan segala projek-projek yang dilaksanakan secara tertutup, maka sudah pastilah beliau menjadi tidak senang duduk. MB baru yang diketuai oleh Tan Sri Khalid bukanlah calang-calang pemimpin dalan sepak terajang kewangan dan ekonomi negara. Jika di siasat semua fail-fail tersebut sudah tentulah susah bagi beliau menjawab di dalam DUN kelak, maka jalan selamat ialah melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang walhal baru sahaja beberapa lalu beliau berkata akan menjadi pembangkang yang kuat di dalam DUN? Tengok, melayu Umno memang mudah lupa!
Sebenarnya banyak lagi hal sandiwara bekas MB Selangor ini, dari kes merobohkan surau di Bangi, menghalang ceramah dan kuliah ahli agama, menghalang jamaah berjamaah dengan mengunci surau, menghalang tazkirah pada malam bulan Ramadhan, kes dua imam, kes merobohkan penempatan setinggan dengan kezaliman di Ampang dan Pandan, merobohkan kuil Hindu di Shah Alam, kes penggondolan alam sekitar di sekitar Bukit Cherakah Shah Alam, dan pelbagai lagi skandal-skandal rasuah dan tender-tender yang tidak perlulah dinyatakan saat ini.
Saya juga mendapat satu kiriman sms yang antara lain bunyinya "Sesiapa yang menjumpai seorang rakyat Selangor, berambut kemas keputihan, muka licin, tinggi sederhana, berbadan tegap sambil memegang penyapu, sila laporkan kepada pihak Polis". Inilah mainan sms rakyat Selangor. Kenapa beliau dikata sebegitu? Inilah pembalasan dari Allah swt. Semasa menjadi ketua janganlah kamu angkuh, sombong, takkabur dan sebagainya. Ingatlah jawatan yang disandang adalah amanah. Namun beliau masih lagi ada sijil dan boleh membuka semula klinik gigi beliau dulu, tetapi jika duit beliau boleh menampung hidup beliau sehingga akhir hayat, hiduplah dengan aman damai. Doa orang yang dizalimi, rakyat yang tertindas, adalah sentiasa diperkenankan yang Esa.
Selamat tinggal jawatan Ketua Pemuda Umno, Khir Toyo pergi buat selamnya. Salam Perjuangan.