Friday, March 21, 2008

Raja Dr. Nazrin Shah sindir Abdullah?

Raja Dr. Nazrin Shah sindir Abdullah?
Abdul Halim Mohd Rashid Thu Mar 20, 08 5:17:12 pm MYT
KUALA LUMPUR, 20 Mac (Hrkh) - Ketika umat Islam di negara ini meraikan ulang tahun keputeraan Nabi Muhammad s.'a.w., Perdana Menteri yang dituntut berundur, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilihat menerima satu lagi tamparan yang hebat. -->-->
Mereka yang menghadiri sambutan Maulidur Rasul di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini menyifatkan ucapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah sebagai sindiran kepada Abdullah ketika parti pimpinannya mengalami kekalahan besar di Semenanjung, kata seorang ahli PAS yang menghadiri majlis tersebut.
Menurut Raja Dr. Nazrin Shah, sikap pemimpin yang hilang pedoman ketika berkuasa adalah punca kejatuhan sesebuah empayar dan negara sebagaimana yang tercatat dalam sejarah.
Menurut baginda, sejarah turut mencatatkan ramai insan yang mendapat peluang menjadi pemimpin tetapi hanya sedikit di kalangan mereka yang berjaya mencipta sejarah dan membina tamadun bangsa.
"Ada di antaranya yang terleka, ada yang tersalah haluan, ada yang tersalah diberi nasihat, ada yang tersalah langkah dan ada yang tersalah perkiraan.
"Justeru, sejarah berkaitan kepimpinan dan pemimpin itu sewajibnya dijadikan asas rujukan oleh ummah hari ini bagi mempelajari daripada kesalahan dan menjauhi daripada mengulangi kesilapan yang sama," kata baginda semasa merasmikan sambutan tersebut.
Bagaimanapun, kata ahli PAS itu, ada di kalangan hadirin melihat ucapan Raja Dr. Nazrin Shah itu sebagai ingatan kepada kerajaan rakyat yang baru di negeri itu.
Barisan Nasional kehilangan majoriti dua pertiga selepas hanya mampu memenangi 140 daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Malah, parti yang dilihat semakin dibenci rakyat itu turut kehilangan kuasa di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor serta gagal merampas Kelantan.