Saturday, March 22, 2008

Wanita bantah Ku Li, pertikai Azalina

Malaysiakini
Muda Mohd Noor Mar 21, 08 3:26pm
kemaskini 7:10pm
Wanita Umno tidak bersetuju dengan langkah Tengku Razaleigh Hamzah memanggil mesyuarat luar biasa dan juga cuba mencabar presiden Umno.


Ketua pergerakan itu Datuk Seri Rafidah Aziz berkata masanya tidak sesuai untuk dua langkah itu memandangkan Umno dan BN kini kehilangan lima negeri selepas pilihanraya umum awal bulan ini. Beliau menambah, walaupun beliau menghormati bekas naib presiden Umno itu tetapi sekarang "bukan masa satu, dua atau tiga orang menonjolkan diri.
"Kita dalam satu pasukan, tidak boleh menangguk di air yang keruh" katanya dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat exco pergerakan itu di ibu negara hari ini.

"Kita (Wanita) tidak minta mesyuarat luar biasa. Kita menyokong penuh pucuk pimpinan parti yang ada sekarang. "Rafidah, yang baru digugurkan daripada barisan kabinet, berkata demikian sebagai mengulas hasrat Ku Li yang mahu mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pemilihan Umno yang dijadual pertengahan tahun ini.Kelmarin, Ku Li menyuarakan secara terbuka hasratnya untuk menentang Abdullah untuk jawatan presiden jika pencalonannya cukup untuk melayakkannya bersaing merebut jawatan tertinggi Umno itu.

"Terpulang kepada bahagian-bahagian Umno, kalau mereka mencalonkan saya dan cukup 30 peratus maka saya sedia untuk bertanding jawatan presiden," katanya dalam satu sidang akhbar di Kota Bharu.

Menurut Ku Li, beliau bersedia memikul tanggungjawab untuk memulihkan Umno yang kalah teruk pada 8 Mac apabila BN gagal mengekalkan penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan kehilangan empat lagi negeri - Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Selangor - kepada barisan pembangkang. Manakala PAS pula berjaya mengekalkan Kelantan dengan pertambahan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bekas menteri perindustrian dan perdagangan antarabangsa itu juga ditanya mengenai status Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman Said.

"Saya tidak tahu status Azalina. Nak masuk Wanita kena masuk cawangan dan bahagian. Dia cawangan mana? Kalau saya, cawangan Bukit Chandan (Kuala Kangsar).


"Jangan tanya saya, saya tak jaga hal orang," katanya apabila ditanya bertalu-talu oleh wartawan mengenai perkara tersebut.

Rafidah juga berkata, dalam mesyuarat exco Wanita hari ini beliau mendapat laporan Wanita negeri bahawa golongan muda tidak menyokong kerajaan dalam pilihanraya umum ke-12.

"Calon BN banyak kalah walaupun kita jangka menang, kita banyak kalah di saluran empat iaitu di kalangan pengundi muda. "Ini menunjukkan anak muda tidak menyokong kerajaan walaupun kita banyak membantu mereka."Ini laporan yang kita dapat. Betul atau tidak, saya tidak tahu tetapi laporan ini akan dihantar ke pucuk pimpinan parti.

"Ini bedah siasat, kalau tidak buat, mana boleh tahu," katanya.Rafidah berkata, jika orang tolak tentu ada sesuatu yang tidak kena, mungkin wakil rakyat yang tidak membuat kerja.Katanya, kalau BN tidak berwaspada, kepimpinan negara boleh tumbang.

"Kita (parti) kena bersatu, tidak boleh kata kami juara parti, kami pemimpin parti. Atau Pemuda buat sendiri, Puteri buat sendiri.

"Saya bercakap perkara ini secara konsisten sama ada saya dalam kerajaan atau di luar kerajaan," katanya. Mesyuarat Wanita tadi, kata Rafidah, juga membuat keputusan bahawa pemimpin utama pergerakan itu wajar turun berjumpa pemimpin dan ahli di peringkat bahagian untuk memberi semangat kepada mereka.

Semangat, katanya, amat penting untuk mereka bergerak semula berjumpa orang ramai di tempat masing-masing."Walaupun kita buat untuk orang Melayu, Cina dan India kena buat kerja juga. Kalau tidak, ketua 10 tidak boleh berjaya."(Tetapi) kekuatan Umno adalah di peringkat cawangan-cawangan," katanya lagi.

Sementara itu, naib ketua Wanita Datuk Shahrizat Abdul Jalil yang hadir sama dalam mesyuarat tersebut berkata, ada pihak yang mahu melihat pucuk pimpinan parti itu bercakaran.

Tetapi dengan pantas, beliau menegaskan exco menyokong penuh kepimpinan Rafidah menerajui Wanita Umno. "Jika parti tidak kuat, jawatan tiada guna. Jangan rendahkan semangat Wanita," katanya.

Kedua-duanya menyalahkan satu laporan media yang mendakwa hubungan mereka "negatif" setelah Shahrizat dilantik sebagai penasihat khas Perdana Menteri.