Sunday, March 23, 2008

BN pening, bimbang tidak dapat pertahan kerajaan - Anwar

BN pening, bimbang tidak dapat pertahan kerajaan - Anwar

Sabri Said
Sun Mar 23, 08 9:39:10 am MYT

BAYAN BARU, 23 Mac (Hrkh) - Penasihat Parti Keadilan Rakyat Malaysia (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kepimpinan Umno/BN kini berada dalam kebimbangan jika tidak dapat mempertahankan kemenangan walaupun dapat membentuk kerajaan secara mudah pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Kemenangan 82 kerusi parlimen menunjukan sokongan rakyat pada Barisan Rakyat (BR) semakin kukuh, katanya.

Senario ini sekaligus merisaukan kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang hanya bergantung harap kemenangan BN di Sabah dan Sarawak.

"Sekarang ini kerja kita teruskan usaha menawan hati rakyat. Biarlah depa nak tafsirkan apa pun terhadap lima buah negeri yang dah menang. Kini depa cuba tafsirkan kerajaan baru di Pulau Pinang, Perak dan Selangor bagaimana nak hidup bantu rakyat, " jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena perhimpunan rakyat anjuran bersama PAS, KeADILan dan Jemaah Islah Malaysia (JIM) di Masjid Jamek Omar Al-Khatab, Bayan Baru 21 Mac lalu.

Apa yang penting sekarang kerajaan negeri yang di menangi Barisan Rakyat harus melaksanakan perbelanjaan berhemah agar pengaliran kewangan menepati sasaran berbanding tindakan Umno-BN sebelum ini, ujarnya.

Biar pelaksanaan tanggungjawab tersusun bersih dan jauh daripada sikap pentingkan diri atau bahagikan projek macam filem 'Nujum Pak Belalang' arahan Tan Sri P.Ramlee, katanya.

"Biar rakyat tengok sendiri kelainan pentabiran antara Basria Rakyat dan BN. Jika terdapat kelainan macam Kerajaan Kelantan buat pasti Umno sukar bertapak semula, " tegasnya.

Walaupun, sekarang ini terdapatnay spekulasi berhubung usaha membeli wakil rakyat BN semata-mata mahu membentuk kerajaan baru dalam masa terdekat beliau berkata, ia bukan membeli seperti yang didakwa BN, sebaliknya ia satu kesedaran di kalangan ahli Parlimen.

Namun apa pun semua pihak kena tunggu dan lihat perkembangan tersebut, katanya.

"Semuanya itu tafsiran orang yang takut pada bayang-bayang. Mereka cuba mencari jalan dengan memperkatakan kebimbangan serta mewujudkan isu sensitif bagi memperkukuhkan kedudukan BN semula," katanya.

Turut berceramah ialah Timbalan Ketua Menteri, Mohd Fairuz Khairudin, Ahli Parlimen Bayan Baru, Dato' Zahrin Hashim dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusuf Rawa./wann